Aliff lelaki yang baik - Adira

ADIRA dan Aliff kini selesa menjalinkan hubungan sebagai teman rapat. HUBUNGAN rapat dan mesra antara penyanyi genit Adira dan penyanyi kela...


ADIRA dan Aliff kini selesa menjalinkan hubungan
sebagai teman rapat.
HUBUNGAN rapat dan mesra antara penyanyi genit Adira dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz bukan lagi rahsia. Mereka berdua juga tidak lagi menyembunyi hubungan rapat itu, malah telah memuat naik gambar bersama di Instagram baru-baru ini.

Jika diselak lipatan sejarah, kedua-dua mereka sememangnya mempunyai rekod percintaan yang pernah mencetuskan kontroversi.

Adira pernah dikaitkan dengan Hafiz manakala Aliff sudah tentu 'meletup' dengan cintanya bersama pelakon Anne Ngasri yang musnah di pertengahan jalan.

Tidak mengambil pusing sejarah silam masing-masing, baik Adira mahupun Aliff mengakui serasi bersama.

Kata Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi ketika ditemui pada majlis makan malam bersama peminatnya di Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia cukup selesa berkawan dengan Aliff dan menyifatkan Aliff sebagai lelaki yang baik.

"Saya selesa berkawan rapat dengannya, bagi saya dia seorang lelaki yang baik, berfikiran terbuka dan mudah dibawa berbincang," akui Adira.

Bagaimanapun kata Adira, hubungan mereka menjadi rapat selepas kontroversi cinta Aliff dan aktres Anne Ngasri berakhir. Enggan mengambil pusing kata-kata orang sekeliling, Adira mahu menjalani kehidupannya dengan cara sendiri.

"Ya, orang pasti tidak berhenti bercakap tentang kisah silam saya mahupun Aliff kerana karier kami sebagai artis. Selagi kami selesa berkawan rapat, saya tidak lihat ia satu kesalahan," tutur penyanyi yang berasal dari Ranau, Sabah itu lagi.

Disoal tentang gambar mereka memakai cincin yang sama dimuat naik ke Instagram, Adira enggan mengulas lanjut kerana bimbang jawapannya akan dijadikan spekulasi pada kemudian hari.

"Itu hanyalah gambar biasa sahaja, jika saya ulas mengenainya, akan timbul pula spekulasi yang baharu. Saya hanya berkawan rapat dengannya, itu sahaja yang boleh saya beritahu," jelas Adira.

Ditebak lagi dengan soalan jika enggan mendedahkan hubungan rapat mereka kepada khalayak kenapa pula dia mengundang Aliff ke majlis makan malam bersama peminatnya yang turut dihadiri ahli keluarga termasuk ibu Adira sendiri?

"Memang saya yang jemput dia atas sebab dia kawan saya. Selain dia, saya juga jemput ramai rakan artis yang lain bukan dia seorang sahaja. Tidak ada sebarang agenda sebalik itu. Hubungan Aliff dengan keluarga saya biasa-biasa sahaja tidaklah terlalu rapat," ujarnya.

Idam konsert solo

Jika dilihat perjalanan kerjaya seni Adira, dia antara penyanyi yang cukup bertuah kerana mempunyai deretan lagu popular sejak keluar daripada program Akademi Fantasia musim kelapan.

Popular dengan lagu Ilusi dan Ombak Rindu, kerjaya Adira dilihat antara penyanyi yang berjaya berbanding rakan seperjuangannya yang lain.

Pada majlis makan malam yang pertama kali dianjurkan oleh kelab peminatnya itu, persembahan Adira persis mengadakan mini konsert solo dengan menyanyi lapan buah lagu.

Tersenyum mendengar pujian itu, anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu memberitahu sebagai penyanyi dia turut mengidam untuk mengadakan sebuah konsert solo suatu hari nanti.

"Memang saya simpan cita-cita dan impian untuk mengadakan sebuah konsert solo jika diberi peluang. Cuma sekarang saya tidak berani meletakkan sebarang sasaran untuk mengadakan konsert kerana belum ada sebarang perancangan ke arah itu.

"Kalau diberi peluang dan mempunyai penaja, memang saya teringin sangat. Itu kemuncak kerjaya seorang penyanyi, saya ingin berjaya seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain yang berjaya mengadakan konsert solo. Mungkin perjalanan ke arah itu masih panjang tetapi saya tidak akan berhenti berusaha," ujarnya tegas.

Tahun ini, penyanyi putih melepak ini bertambah sibuk apabila album penuh pertamanya dijangka keluar pada tahun ini.

Ceria bercerita tentang albumnya, katanya, sudah lama dia menantikan kemunculan sebuah album sejak bergelar penyanyi.

"Akhirnya, album pertama saya akan berada di pasaran pada tahun ini juga. Terdapat lima buah lagu lama dan lima buah lagu baharu. Pembikinan album sudah hampir selesai, malah kulit album juga sudah ada.

"Jujurnya, memang saya tidak sabar untuk mempunyai album penuh sendiri. Saya harap apabila album ini keluar kelak, peminat akan menyukainya kerana saya telah meletakkan fokus saya seratus peratus ketika proses rakaman dan keseluruhan pembikinan album," luahnya.

Selain menyanyi, Adira juga telah bergelar pelakon selepas berlakon dalam beberapa drama khas untuk keluaran raya dan juga drama bersiri pertamanya iaitu Tiara lakonan bersama Aliff.

Masih belajar tentang ilmu lakonan beritahu Adira, dia hanya berlakon jika mempunyai kemampuan sahaja.

"Saya suka berlakon tetapi saya masih perlu banyak belajar tentang lakonan. Selepas Tiara saya belum terlibat dalam mana-mana drama kerana apabila berlakon saya harus memberi fokus seratus peratus.

Penggambaran drama Tiara dilakukan ketika bulan Ramadan, waktu itu jadual nyanyian saya agak kosong, sebab itu saya boleh berlakon.

"Buat masa sekarang disebabkan jadual saya yang padat, saya tidak mampu untuk beri komitmen. Saya tidak mahu menerima tawaran tetapi akan menyusahkan orang lain dan tidak mampu berlakon dengan baik.

"Sudahlah saya baharu nak belajar berlakon, kalau terikat dengan kerja lain, saya kepenatan dan tidak dapat beri fokus sebab itu buat masa ini saya fokus pada nyanyian terlebih dahulu," tuturnya.

Rai bersama peminat

Bercerita lanjut mengenai majlis makan malam bersama peminat, katanya itu adalah kali pertama majlis seumpama itu diadakan bersama kelab peminatnya, Adira Fans Club. Sudah lama dirancang sejak bulan Disember tahun lalu, Adira berpuas hati apabila dapat membuat persembahan khas buat peminatnya sahaja.

"Sebenarnya peminat yang beri cadangan untuk anjurkan majlis seperti ini. Melihat kepada sambutannya, saya terharu kerana ada yang datang dari Sabah dan negeri-negeri lain semata-mata untuk bersama saya dalam majlis ini," katanya lagi.

Meskipun bayaran RM80 dikenakan pada setiap orang, majlis itu penuh dengan 400 orang peminat, malah pada saat-saat akhir mereka terpaksa menambah meja untuk memenuhi kehadiran di luar jangkaan itu.

"Tidak sangka ramai yang datang hari ini sampai terpaksa ditambah meja. Bagi saya majlis ini sangat berjaya dan selepas ini saya akan mengadakan majlis yang sama di negeri kelahiran saya di Sabah. Rasanya sudah lama peminat di sana menantikan majlis seumpama ini," tuturnya.

Selain persembahan Adira, majlis malam itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi veteran Uji Rashid dan celoteh pengacara majlis Sharifah Shahora yang mencuit hati.

Cuma apa yang kurang disenangi adalah persembahan tidak sopan dan keterlaluan penari-penari maknyah yang dikenali sebagai paper doll.

Mengulas lanjut mengenai persembahan kurang sopan itu, kata Adira, dia sendiri tidak menyangka persembahan tersebut akan diadakan dan meminta maaf bagi pihak penganjur.

"Saya tahu akan ada persembahan paper doll tetapi kami tidak sempat nak berlatih kerana pada waktu siang dewan itu digunakan untuk sebuah majlis perkahwinan, Kami hanya masuk pada pukul 6 petang sahaja.

"Jadi, saya tidak tahu bagaimana corak persembahannya. Memang saya juga terkejut kerana pakaian mereka agak terdedah. Saya minta maaf sangat, selepas ini saya akan lebih berhati-hati supaya kejadian yang sama tidak akan berulang," ungkapnya. - Kosmo

Related

Selebriti Sabah 7995625959711361854

Post a Comment

emo-but-icon

Panas!

Recent

Comments

item