Ana Raffali tidak mahu berpisah dengan suaminya
BUKAN sahaja dianugerahkan suara yang merdu malah Ana Raffali, 27, atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini mempunyai kemahiran...
https://utarafmblog.blogspot.com/2013/04/ana-raffali-tidak-mahu-berpisah-dengan.html
BUKAN sahaja dianugerahkan suara yang merdu malah Ana Raffali, 27, atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini mempunyai kemahiran bermain gitar, menulis lirik dan mencipta lagu.
Kelebihan inilah yang meletakkan Ana di kelas tersendiri. Lantaran, tidak hairanlah anak kelahiran Kuala Lumpur ini dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 menerusi lagu ciptaannya, Tolong Ingatkan Aku.
Kehebatannya terbukti menerusi pengiktirafan itu. Lebih istimewa, penyanyi berkulit cerah ini juga bijak membawa diri. Sehingga kini, Ana antara artis yang bebas daripada gosip dan kontroversi.
Penampilan terbaru Ana membuatkan peminat semakin menyayanginya. Selepas mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Ahmad Aznaim Abdullah, 30, Ana tekad berhijab.
Walaupun menerima pelbagai reaksi, penghibur serba boleh ini tegar dengan keputusannya untuk terus menutup aurat. Adakah sukar untuk Ana menempatkan diri dalam bidang seni selepas berhijrah? Apa pula komen wanita anggun ini mengenai ledakan fesyen muslimah? Ana turut melontarkan pendapatan mengenai isu keibubapaan. Ikuti buah fikirannya…
MW: Ceritakan mengenai album terbaru Ana?
Ana: Album terbaru saya masih dalam proses rakaman. Insya-Allah saya akan keluarkan single dahulu sehinggalah cukup dijadikan koleksi untuk dialbumkan. Single terbaru saya berjudul Jauh Ke Syurga. Sebuah lagu yang bertemakan doa untuk mengekalkan hubungan kasih sayang hingga jauh ke syurga.
MW: Bagaimana kehidupan Ana kini selepas berumah tangga?
Ana: Alhamdulillah selepas berkahwin pada bulan Februari tahun lalu, kehidupan saya makin tenang dan sentiasa dilimpahi dengan kasih sayang suami. Saya berasa lebih dilindungi dan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama kawan karib saya. Ini antara momen yang paling manis dalam hidup saya.
MW: Adakah Ana lebih selesa bekerja dengan suami berbanding orang luar untuk menguruskan kerjaya Ana?
Ana: Semestinya kita akan lebih selesa bekerja bersama orang yang kita percaya sepenuh hati. Ada beberapa perkara yang tidak perlu diperjelaskan kerana kami saling memahami antara satu sama lain. Inilah antara kelebihan bekerja dengan suami saya.
Lebih tenang selepas berhijrah
MW: Bagaimana Ana menyesuaikan diri dengan imej bertudung dan membawa diri dalam industri seni?
Ana: Alhamdulillah selepas berhijab, saya rasa lebih rasa tenang dan mudah untuk fokus dengan kerjaya. Berhijab bukan perkara baru bagi saya kerana sebelum ini saya selalu berhijab ketika menghadiri majlis tertentu. Penerimaan orang di sekeliling sangat positif. Mungkin saya diterima ramai melalui hasil karya lagu-lagu saya melebihi daripada penampilan.
MW: Komen Ana mengenai fenomena fesyen wanita muslimah?
Ana: Pada pandangan saya, fenomena fesyen muslimah sangat bagus. Namun, saya berpendapat fesyen yang digayakan oleh muslimah seharusnya mengikut hukum syarak bukannya mengikut kesesuaian individu.
Sedia terima anak bila-bila masa
MW: Bila nak timang cahaya mata?
Ana: Insya-Allah bila ada rezeki. Saya dan suami serahkan soal ini kepada Allah, kami bersedia menerima kehadiran orang baru bila-bila masa sahaja.
MW: Adakah Ana rasa perlu bagi ibu bapa kini mengikuti kelas keibubapaan sebagai persediaan menimang cahaya mata?
Ana: Bergantung kepada individu. Jika inginkan pengetahuan lebih, eloklah ke kelas keibu-bapaan sebagai persediaan awal.
MW: Kini semakin ramai artis baru yang menggunakan kemudahan internet seperti laman You Tube dan sebagainya untuk menyerlahkan bakat seni? Apa pendapat Ana
Ana: Pada pendapat saya, perkembangan ini amat positif dan sihat untuk industri seni tanah air kerana mereka berani menonjolkan bakat. Medium internet dimanfaat dengan cara yang betul.
MW: Adakah Ana punya perancangan untuk melebarkan sayap ke luar negara ?
Ana: Insya-Allah kalau diberi peluang. Tetapi kalau boleh saya nak hiburkan masyarakat kita dan memartabatkan muzik Malaysia terlebih dahulu.
Suami isteri minat Lego
MW: Bagaimana Ana menjaga kesihatan dan kecantikan?
Ana: Secara jujurnya, saya tidak ada pantang larang atau mengamalkan sebarang aktiviti khusus. Cuma sejak dulu, saya seorang yang gemar minum air kosong atau air mineral.
MW: Bagaimana pula Ana bahagi masa antara kerjaya dan keluarga?
Ana: Tidak sukar kerana saya dan suami boleh dikatakan bersama setiap masa sama ada urusan kerja atau aktiviti kami berdua.
MW: Aktiviti yang sering dilakukan bersama suami?
Ana: Aktiviti yang suka dibuat dengan suami adalah bermain Lego. Rupanya, kami secara diam-diam meminati Lego sejak kecil lagi. Hanya beberapa bulan lepas kami mula berkongsi cerita dan minat. Sejak itulah kami mula mengumpul mainan Lego kembali. Ia aktiviti yang menyeronokkan dan dapat mengeratkan hubungan kami.
* Dipetik dari majalah Mingguan Wanita. Dapatkan edisi terbaru di pasaran